Friday, 17 April 2015

Sepetang Bersama Hj. Muhammad Ghazawan - Isu Undang-Undang Islam (Hudud) Di Malaysia

Asslamualaikum Wr. Wbt ..

Hanya tinggal beberapa hari saja lagi genap setahun aku tidak menulis. Bukan tidak ada masa atau tidak ada minat tetapi yang pasti aku sedang mencari topik yang paling sesuai walaupun aku pernah katakan yang aku akan menulis semula pasal politik negara. Memang ini masa sesuai untuk menulis dan bercerita. Banyak yang boleh diperkatakan dalam konteks negara sekarang. Banyak perkara yang hangat boleh diulas namun fakta dan asas dalam penghuraian itu adalah sangat penting agar apa yang kita perkatakan tidak melencong dan lari ke tempat lain.

Pada 2 April 2015 yang lepas, aku berjumpa dengan sahabat aku Tn. Hj. Mohd. Ghazawan B. Ghazali dalam satu pertemuan yang sebenarnya tidaklah dirancang tapi cukup membawa hasil yang bermanfaat untuk dikongsi. Pertemuan di KLCC petang itu kami berbicara tentang politik negara. Satu perkara yang aku cukup suka bila berbicara dengan sahabat ini kerana sifat terbuka dan tidak emosi dalam membicara soal politik walaupun pada dasarnya sahabat ini berlatar ideologi politik Islam berbanding aku yang lebih kepada konservatif melayu. Jadi tak payah aku bercerita soal parti pilihan kerana ideologi sudah menceritakan segalanya. Cumanya ada banyak persamaan yang kami kongsi dan mungkin ingin dicapai.

Topik hangat dalam perbincangan hari itu ialah perkembangan politik PAS dalam perjuangan menegakkan undang-undang hudud melalui Rang Undang Undang (RUU) Persendirian yang ingin dibentangkan oleh Presiden PAS Y.B Tn. Guru Haji Abdul Hadi Awang. Pelbagai fakta dan kupasan yang kami bawa dimana pengakhirannya ialah kami bersetuju bahawa undang-undang Islam ini adalah satu kewajipan dan harus dilaksanakan namun persoalannya sekarang sesuaikah di Malaysia, bila harus dilaksanakan dan apa natijahnya kepada masyarakat Malaysia secara umum?

Tanpa mempertikaikan kewajipannnya kepada setiap umat Islam, pada aku undang-undang Islam ataupun Hudud atau dengan apa nama sekalipun, harus ditelaah dan ditafsirkan semasaknya sebelum ianya mahu dilaksanakan dalam konteks negara berbilang kaum seperti Malaysia. Harus diingat, kita adalah negara yang bermajoriti orang Islam tetapi dari segi budaya dan pengamalan kehidupan kita, pengaruh bangsa Melayu adalah lebih dominan. Ini menjadikan kita orang-orang melayu lebih taksub dengan bangsanya berbanding agama yang dianutinya. Sebab itu kalau kita melihat kepada lanskap politik di Malaysia parti yang mewakili orang melayu dan yang berpengaruh ada 2 iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Dan dengan pengaruh fanatik bangsa yang lebih tinggi kepada agama lebih majoriti maka sebab itulah UMNO lebih berpengaruh dan menjadi pilihan berbanding PAS. Kenapa aku membangkitkan isu ini kerana inilah yang menjadi asas pada pandangan aku kenapa undang-undang Islam atau Hudud amat sukar mendapat sokongan dan dilaksanakan di Malaysia selain faktor kepelbagaian bangsa seperti Cina, India dan lain-lain yang semestinya tidak mengerti apa itu hudud.

Kita telah didedahkan dengan ilmu dan pengetahuan dari barat sehak zaman penjajah lagi. Dalam dalam tempoh lebih 50 tahun sejak kemerdekaan ini ternyata pengaruh penjajah ini masih amat berpengaruh dikalangan masyarakat malah menjadi panduan dalam sebahagian pendabiran utama dalam kerajaan. Sebagai contoh undang-undang kita juga masih berpandukan kepada Common Law British untuk sebahagian rujukan utama. Inilah antara kejayaan utama penjajah terutama penjajah Inggeris. Dan yang paling penting ialah sistem pendidikan kita amat moderat dan lebih menjurus kepada nilai kebangsaan dan patriotisme kepada konsep negara. Subjek dan amalan agama tidak menjadi teras dalam kewajipan dalam pendidikan. Aspek ini membentuk satu minda blok yang tinggi kepada setiap generasi yang melalui proses ini untuk menerima sebarang perubahan dalam konsep kehidupan setelah mereka matang dalam pendidikan.

Dan bila aspek ini sudah menjadi sebati dalam diri masyarakat maka untuk mengubahnya bukanlah satu perkara yang mudah. Inilah cabaran sebenar untuk hudud atau undang-undang Islam itu dilaksanakan. Bukan menentang tetapi untuk menerima dan mengamalkannya seolah olah sesuatu yang amat mustahil untuk majoriti kita.

Secara peribadi, aku pun tak tahu apa sebenarnya yang ingin dibentang oleh TGHA dalam RUU Persendirian Jenayah Syariah ini. Aku hanya mendapat maklumat melalui media masa yang terhad di Malaysia. Wujud pertikaian bertaraf nasional dalam isu ini. Dari ahli politik, ahli akademik, golongan korporat, ahli kerajaan dan swasta serta dari pelbagai bidang yang ada di Malaysia. Semua pro dan kontra dizahirkan dalam medium masing-masing. Namun segalanya belum ada jawapan. Malah di peringkat PAS sendiri sudah mengelirukan. Ahli Parlimen Shah Alam, Y.B Khalid Samad dalam satu kenyataan mendakwa, RUU yang hendak dibentangkan oleh TGHA hanya satu cadangan membaik-pulih undang-undang syariah sedia ada dan hanya untuk mengubah bentuk hukuman. Ianya tidak ada kena mengena dengan hudud Kelantan.

Tetapi dalam kenyataan yang berasingan TGHA mengatakan bahawa RUU yang hendak dibawa adalah untuk memberikan mandat kepada kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud yang telah diluluskan diperingkat negeri. Jadi, kita pun tak pasti apa sebenarnya yang berlaku dan apa muslihat disebalik semua ini. Yang pasti cara approach yang dibawa oleh PAS dalam hal ini dalam sebuah negara majmuk ini adalah silap.

Aku tidak berminat untuk mengetahui intipati undang-undang yang hendak dibawa oleh TGHA ini. Samada ianya betul dibentuk atas dasar syariah Islam atau sekadar undang-undang Hudud PAS yang bermotif politik seperti yang dinyatakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, itu tidak penting. Biarlah pakar yang menetukan perkara tersebut dengan menggunakan budi bicara mereka dan ilmu agama yang mereka ada. Apa yang ingin aku sentuh dalam hal ini sepertimana yang dibahaskan bersama Tn. Hj Muhammad Ghazawan ini ialah apakah pendekatan yang digunakan oleh PAS ini sesuai dalam konteks negara Malaysia dan apakah ulama-ulama kita mampu membawa isu ini dengan baik dan dapat menterjemahkannya kepada masyarakat jahil di Malaysia ini tentang keindahan undang-undang Islam itu? Di sini persoalannya kerana jika ianya tidak diurus dengan baik maka niat yang bersih untuk memartabatkan undang-undang Islam akan menjadi sebaliknya dan Islam itu pula yang akan dikatakan sebaliknya. Terus terang aku katakan, inilah apa yang aku nampak sekarang.

Kenapa kita nak marah dengan DAP atau MCA atau Gerakan atau mana-mana parti atau pertubuhan bukan Islam menentang atau tidak bersetuju dengan hudud? Salahkah mereka menentang? Cuba letakkan diri kita ditempat mereka, rasanya apakah tindakan kita? Jangan kita pergi jauh, kalau kita keluarkan semua orang-orang bukan Islam dan hanya orang Islam yang tinggal, berapa % agaknya yang menyokong dan sebaliknya? Hakikatnya, sebagai orang Islam kita harus dan wajib taat dan menerima undang-undang Allah SWT, persoalannya sejauhmana kefahaman kita terhadap undang-undang itu? Kalau kita sendiri gagal meyakinkan diri kita dengan undang-undang Islam ini, jangan sekali-kali menuding jari kepada bangsa dan agama lain. Masalahnya adalah diri kita sendiri. Mengaku lah wahai sebahagian besar orang-orang melayu Islam di Malaysia bahawasanya kita sendiri tidak faham apa itu hudud dan di mana keindahannya?

Namun begitu, kita tidak boleh menyalahkan golongan orang Islam yang tidak faham kerana sepertimana yang aku katakan tadi, budaya dan suasana negara kita yang dipengaruhi oleh barat menjadikan kita lebih taksub kepada kemodenan budaya yang di bawa dari barat. Bermula dari sekolah hingga ke peringkat tinggi, pencerahan terhadap undang-undang Islam ini amat mengecewakan. Di sinilah peranan golongan agamawan dan para ulama harus mengambil jalan untuk mendedahkan kepada masyarakat mengenai undang-undang Islam ini. Namun, amat mengecewakan kalau kita katakan kita tidak mempunyai ramai ulama yang mempunyai kepakaran untuk menerangkan kepada masyarakat mengenai undang-undang ini.

Aku ingin bercerita mengenai pengalaman seorang sahabat berbicara tentang hukum Islam yang paling popular. Sahabat saya ditanya oleh seorang berbangsa cina tentang kenapa umat Islam tidak dibenarkan makan binatang babi malah menyentuhnya juga adalah haram. Maka sahabat saya menyatakan itu adalah tuntutan agama maka dia pun patuh. Bila persoalan datang bertubi-tubi dalam topik yang sama maka perbualan menjadi hangat namun untuk mengelak menjadi lebih emosi ianya berakhir dengan jawapan yang sama iaitu disebabkan Islam melarang maka umatnya harus patuh. Dan kalau aku sekalipun ditanya jawapan yang aku berikan mungkin hampir sama.

Cuma apa yang mengejutkan ialah bila di akhir perbualan sahabat berbangsa cina ini menyebut tujuan sebenar soalan itu diajukan kerana dia ingin tahu apakah kita tahu alasan sebenarnya diatas larangan itu Maka dia pun bercerita secara kebetulan semasa dia menghadiri satu seminar beberapa bulan sebelumnya di Singapura dan dia berjumpa dengan seorang muslim dari Iran yang kebetulan menjadi ahli seminar yang sama. Dia menyatakan dalam perbualan mereka yang amat singkat itu, orang Iran ini telah menjelaskan kepadanya mengapa orang Islam diharamkan memakan babi dengan memberikan panduan berdasarkan logik akal dan sedikit fakta sains. Dan paling mengejutkan dia sendiri amat setuju dengan alasan itu apatah lagi secara kebetulan dia memang seorang vegetarian. Cuma malangnya dia tidak menceritakan apakah alasannya dan sebagai orang Islam katanya kita harus lebih tahu. Peristiwa ini berlaku pada tahun 2010.

Apa yang cuba aku tekankan di sini ialah bagaimana sebenarnya hukum Islam itu setiap perinciannya mempunyai alasan dan sebab yang tersendiri. Yang yang paling penting sekali sifat hukum itu sendiri yang sebenaranya tidak pernah lapuk dek zaman. Ianya tetap sesuai untuk bila-bila hingga akhir zaman. Namun malangnya kita gagal mendalami dan merasai keindahannya. Kerana mungkin majoriti dari kita hanya bernama Islam agamanya disebabkan secara kebetulan Allah SWT melahirkan kita dalam keluarga orang-orang Islam. Tapi pengertian Islam itu hanya sekadar hikayat riwayat lama kita terpaksa terima dan amalkan.

Kenapa aku bangkitkan perkara ini? Dan apakah kaitan dengan perbincangan awal kita tentang hudud tadi? Konsep dan asasnya adalah sama iaitu pemahaman dan pencerahan. Kita tidak faham sepenuhnya apa itu hudud dan kenapa ianya perlu dilaksanakan. Kita hanya dimomokkan dengan falsafah zaman di mana sebagai orang Islam kita harus terima undang-undang Islam dan kalau kita menentangnya maka kita akan menjadi kufur. Ya, memang benar itu adalah hakikatnya namun dalam dunia yang terbuka ini, apakah kita hanya harus menerima falsafah itu secara buta tanpa memahaminya? Kalau begitu sifatnya maka undang-undang hudud hanya terletak pada namanya namun tidak pada maksud dan keindahannya.

Dalam hal ini, seperti yang aku katakan pada sahabat ku dalam perbualan kami, aku sedikit walaupun tidak sepenuhnya menuding jari kepada para ulama politik dan agamawan kita dalam aspek kegagalan dalam pencerahan ini. Aku melihat ulama kita gagal dalam menterjemahkan kepentingan kewajipan ini kepada masyarakat di Malaysia dan hanya menjadikannya agenda politik. Mereka tidak mempunyai kemahiran dalam memberikan gambaran tentang betapa indahnya hudud dan bagaimana sebenarnya hudud ini mampu menyelesaikan segala masalah jenayah manusia kalau diamalkan secara telus. Terus terang aku katakan ulama kita terutama dari golongan ahli politik sememangnya gagal dalam siri penerangan ini. Dan disebabkan oleh kegagalan itu, maka tembok minda golongan sekular ini amat sukar untuk ditukar. Inilah yang berlaku di Malaysia hari ini. Maka hasrat perlaksanaan hudud samada di Kelantan ataupun di lain-lain negeri hanya lah satu propaganda politik yang mempunyai agenda yang tertentu.

Sebagai salah seorang yang boleh dikatakan buta hudud, selain hakikat bahawa undang-undang Islam adalah wajib untuk semua umatnya, aku masih percaya setiap yang disyaratkan oleh Allah SWT melalui hukumnya mesti mempunyai maksud dan keindahannya yang tersendiri kerana Allah SWT itu Dia adalah pencipta alam dan maha mengetahui. Aku amat setuju jika undang-undang ini dilaksanakan di Malaysia tetapi mestilah melalui pendekatan yang betul dan sesuai dalam kehendak zaman.

Pada pandangan aku, salah satu syarat pelaksanaannya ialah perbezaan idealogi politik harus diketepikan sama sekali. Perlaksanaan ini tidak harus ada hubungan dengan ideologi politik walaupun perlaksanaannya melalui kuasa politik. Bunyinya memang complicated tetapi pada aku hanya ini cara yang mampu digunakan untuk melaksanakannya. Dari asas ini, sebagai parti yang memberikan titik mula kepada perlaksanaan ini, PAS harus berbincang dengan semua parti politik yang didominasikan oleh orang melayu Islam seperti UMNO dan PKR atau mana-mana parti untuk menjadikan hudud ini agenda kebangsaan tanpa pengaruh ideologi politik. Maknanya, parti mana pun yang memerintah selepas pilihanraya, dasar tentang hudud ini harus diteruskan tanpa apa-apa perubahan. Ianya tidak boleh disamakan dengan dasar Wawasan 2020, Dasar 1 Malaysia dan sebagainya tetapi lebih kepada teras kepada perubahan pembudayaan rakyat secara terancang dan berperingkat.

Satu pelan jangka panjang harus dibentang dan dipersetujui secara bersama. Dan persoalannya, bagaimana nak melaksanakannya? Seperti yang aku katakan pada awal tadi, generasi masyarakat kita sekarang sudah sebati dengan jiwa sekular. Oleh itu amat sukar untuk kita lakukan dan memberikan penerangan sekarang walaupun kita boleh buat melalui proses paksaan dengan perubahan undang-undang dan penguatkuasaan tetapi penghayatan akan hilang. Jadi lah ianya sekadar usaha dalam bentuk jenama bukan kualiti perlaksanaannya.

Oleh itu, aku ingin melontarkan idea agar perlaksanaan undang-undang hudud ini harus ditukar dari penggubalan akta dan pelaksanaan kepada pendidikan nasional. Apabila pelan bersama dipersetujui, satu jangkamasa dan perancangan harus ditetapkan bila pemahaman hudud ini akan matang dan pengubalan akta bermula. Maknanya kerajaan yang memerintah harus menjadikan hudud ini satu pendidikan yang wajib kepada pelajar Islam atau semua pelajar dari peringkat rendah hinggalah tinggi. Gunakanlah kemahiran yang ada pada para ulama dan agamawan dalam atau luar negeri untuk menjadikan pendidikan undang-undang itu sesuatu yang universal dan dominan. Ianya mungkin mengambil masa tapi percayalah hasilnya akan lebih berkualiti dengan tujuan yang jelas. Biarkan generasi yang bermula dengan pendidikan ini memahami dari perkara asas tentang undang-undang sekaligus menghilangkan rasa alergy atau phobia tentang undang-undang hudud. Dan melalui perancangan jangkamasa tadi maka kita sudah boleh membuat andaian bila undang-undang ini boleh dilaknasanakan. Walaupun ianya tidak menjanjikan 100% sokongan masyarakat namun generasi Islam pada masa itu lebih memahami dan bersedia untuk menerima hudud.

Cubalah bayangkan dalam perancangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh Tun Abdul Razak sudah diperkenalkan sistem pendidikan tersebut nescaya generasi sekarang telah menikmati keadilan dari undang-undang hudud itu dan kita besedia untuk melaksanakannya. Mungkin aku sendiri boleh menulis panjang tentang hudud sebab aku memiliki maklumat tentang ilmu itu. Ataupun dalam Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr, Mahathir ada perancangan pendidikan hudud dan sedang dijalankan sekarang maka pada tahun 2020 kita boleh menjangkakan hudud sudah boleh dilaksanakan diseluruh negara kerana asas kefahaman itu sudah dibentuk untuk berhadapan dengan perubahan kerana harus diingat undang-undang hudud ini tidak hanya melibatkan aspek undang-undang tapi secara tidak langsung ianya menyentuh aspek budaya.

Oleh yang demikian, sebagai umat Muhammad SAW, aku bersyukur dilahirkan sebagai orang Islam dan semoga pembudayaan Islam melalui aspek undang-undang, ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan di negara ini. Cuma kita jangan terlalu fanatik terhadap apa yang ingin kita capai sehingga kita lupa akan risiko dan kesan pada tindakan kita. Apa yang berlaku sekarang ialah pembawaan imej Islam itu dipolitikkan untuk tujuan tertentu dan ini merosakkan imej Islam itu sendiri. Aku tetap percaya, jika betul apa yang diperkatakan oleh rakan tentang sahabat cina itu di Singapura, setiap yang disyaratkan dalam hukum Islam itu ada tujuan dan manfaatnya kepada manusia dan ianya boleh dibuktikan secara logik akan dan fakta sains. Kalau seorang ulama terutama ulama politik hanya berkata kita mesti lakukan itu dan ini kerana itu Allah SWT yang suruh tapi tak tahu kenapa Allah SWT suruh, baik tak payah jadi ulama, baik join aku bersama yang lain untuk terus mencari jawapannya.

Kepada Tn. Hj Muhammad Ghazawan Tan Sri Sheikh Ghazali - Terima kasih kerana datang berjumpa. Kita berbicara lagi di lain waktu. Insya'Allah.

Wassalam