Sebenarnya posting ni dah lama aku tulis tapi memandangkan ada masalah teknikal sikit maka ianya agak terlewat. Jadi untuk membacanya kena lah refresh sikit waktunya kerana aktiviti ini dijalankan pada bulan Mac tahun ini. Tapi tak apa asalkan ia tetap segar di ingatan maka ianya tetap relevan.
Tanggal 17 Mac 2013 yang merupakan hari Ahad adalah hari penting buat puteraku yang ketiga, Asyraf Iskandar kerana Mak Tok nya (Mak Mertua ku) mengadakan Majlis Cukur Jambul dan Majlis Marhaban untuk cucu barunya itu. Memang secara tradisinya ketiga-tiga putera ku akan mempunyai majlis yang sama dan dalam hal ini, kedua bapa dan mak mertua ku yang menjadi masterplan nya. Terima kasih yang tak terhingga untuk keduanya.
Untuk menjadikan majlis ini mengikut seperti yang dirancang, malam sebelum majlis tu kami tidur kat rumah mak mertua ku. Maklumlah persiapannya macam orang kahwin. Ada tempat macam pelamin untuk letak Asyraf dan lain-lain. Semua orang turut mengambil bahagian dalam penyediaan ini termasuklah adik ipar ku dan suaminya. Semoga tuhan sahaja yang membalasnya.
Pada pagi majlis, seperti biasa kami semua dah prepare awal. Kedua putera ku yang pertama dan kedua, Mon De Gebs yang paling gembira dan bergaya seolah-olah ingin menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Hakikatnya mereka pun tak tahu apa tu Majlis Cukur Jambul tapi yang paling penting ialah mereka merasakan mereka adalah sebahagian dari majlis itu dan perasaan kekeluargaan itu wujud.
Setelah selesai persiapan awal, pagi itu majlis dimulakan pada pukul 10.00 pagi dengan kumpulan marhaban ini dikemudikan oleh ahli-ahli wanita. Alhamdullilah seronok juga melihat majlis ini dengan bacaan ayat dan nyanyian marhaban yang membawa maksud yang sangat dalam membawa kita kepada kesedaran bahawa kita ini adalah mahluk ciptaan Allah yang patuh pada tuntutannya.
Pada ketika majlis bercukur bermula, Asyraf Iskandar di bawa bersua kepada setiap insan yang meraikannnya untuk bercukur rambut dan aku melihat serta merakamkan sebahagian dari detik ini sebagai hari istimewa kepada semua yang terlibat terutama puteraku Asyraf Iskandar.
Para jemputan ini dijamu dengan jamuan sebagai tanda terima kasih atas kesudian bersama dalam majlis bercukur ini. Majlis selesai sehingga pukul 2.30 ptg dengan ada sebahagian jemputan sedikit lewat namun kehadiran mereka tetap membawa makna kepada majlis ini.
Antara jamuan yang disediakan. Memang menyelerakan. Kalau nak tahu sapa yang buat, kena tanya mak mertua aku.
Makcik Zaharah .... antara orang penting dalam family ku. Dia banyak mendidik puteraku dan kehadirannya amat dirasai oleh kesemua puteraku.
Saya dan isteri serta seluruh keluarga di Sabah dan Singapura, ingin mengambil kesempatan ini walau mungkin agak terlewat untuk mengucap jutaan terima kasih kepada semua yang hadir dan paling istimewa kepada bapa dan mak mertua yang mengendalikan serta menaja hampir semua keperluan dan aktiviti majlis ini. Semoga Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya.
Dan kepada putera ku Asyraf Iskandar, tatkala kamu membaca coretan ini satu hari nanti, inilah antara hari-hari bahagia dalam hidupmu dan ingatlah akan orang-orang yang meraikannya.
Wassalam