Seperti yang aku telah janjikan dalam posting yang lepas, akan aku kongsikan sebahagian dari kenangan ketika berada di Kota Hong Kong pada Disember 2013 yang lepas. Satu pengalaman yang menarik walaupun pada aku masa amat singkat tapi alhamdulilah dapat juga merasa pengalaman di negeri orang dengan pelbagai karenah dan budaya. Tujuan ke sana dan pengalaman yang lain rasanya sudah ku kongsikan pada posting yang lepas.
Baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Hong
Kong tak lah jauh sangat hanya mengambil masa lebih kurang 4 jam sahaja.
Sepanjang perjalanan ke Hotel, mata akan dihidangkan dengan pemandangan cahaya buatan manusia yang mengkagumkan. Pembangunan di Kota Hong Kong ini memang menakjubkan kerana kepesatan penduduk dan taraf kemodenan mereka. Namun tamadun manusia yang di nilai melalui budaya dan kesenian semakin hilang. Itu sememangnya adat kota.
Pada aku masyarakat Hong Kong ni amat aggressif. Diorang berjalan seolah-olah masa itu adalah hantu yang sedang mengintai diorang dari belakang. Aku katakan begini sebab diorang ni jalan laju-laju. Walaupun aku rasa aku dah jalan laju tapi diorang lagi laju. Bahu aku kiri kanan kena langgar. Tua muda semua sama. Balik Malaysia betis aku terus kejang sampai seminggu ha ha ha.
Ini lah yang paling kritikal untuk kita orang Islam. Sesiapa yang selalu atau tinggal di Hong Kong mungkin tahu di mana lubuknya tapi kalau macam kita yang sekali sekala datang ni, nak cari makanan yang halal dengan harga yang sederhana memang payah. Ketika berjalan di sekitar Pasar Malam Jalan Wan Cai yang agak terkenal di Hong Kong, aku terjumpa satu kedai 2 Star's yang ada tanda Halal. Pemiliknya orang Nepal dan dia buka kedai bersama rakannya yang beragama Islam.
Memang sikap ku yang suka berbual, kami bercerita tentang negara masing-masing. Rupanya bila aku sebut sahaja pasal negara Malaysia, dia menyebut bapanya pernah bertugas bersama tentera British di Malaya suatu ketika dahulu dan bapanya amat fasih berbahasa Melayu. Namun umur yang telah lanjut, keinginan untuk kembali ke Malaysia di lihat agak mustahil. Sekarang bapanya ada di Nepal menghabiskan hari-hari tuanya. Lama juga kami berbual mungkin satu jam setengah sebab topik yang dibincangkan menarik apatah lagi dia berkongsi tentang Malaysia berpandukan cerita bapaknya. Very interesting.
Dalam masa yang terluang, rakan ku Stanley mengajak aku ke Mongkok. Di sana katanya ada pasar malam paling besar di Hong Kong dan consider paling happening. Mongkok ni dalam kawasan tanah besar dan bukan dalam pulau Hong Kong. Kami menaiki subway tren bawah tanah untuk bergerak dari Wan Cai ke Mongkok. Bertukar-tukar tren sampai aku pun tak ingat berapa kali tukar tren. Sebab kaki aku dan mula kejang. Ha ha ha.
Sampai saja di Mongkok, kami pun berjalan lagi untuk sampai ke destinasi yang dituju. Memang happening. Dengan deretan kedai seperti Petaling Street tapi yang ini agak tersusun, pelbagai barangan buatan Tanah Besar China di jual. Stanley kata kat aku, memang barangan China amat famous sekarang di seluruh dunia tapi yang kita dapat di Hong Kong atau mana-mana jajahan China, barangannya consider Gred A bagi keluaran China. Jadi, sesiapa yang ingin melihat barangan murah China, di sinilah antara syurganya. Aku hanya sekadar melihat dan memerhati sahaja. Yang aku beli hanyalah barangan cenderamata untuk di bawah balik ke Malaysia. Walaupun hanya membeli cenderamata tapi rasanya berat juga tangan ku mengangkat barang. Ha ha ha. Rakanku pulak sibuk membeli barangan kosmetik seperti yang dipesan oleh isterinya.
Selepas dari Mongkok, kami bergerak ke tembok laut yang memperlihatkan kecantikan cahaya malam di pulau Hong Kong. Gambar ini di ambil dari tanah besar dan merupakan tempat paling menarik dan menjadi tumpuan di Hong Kong. Selain dari pemandangan cahaya yang unik, di sini juga kita boleh melihat pelbagai rekaan feri dan sebagainya.
Apapun seperti yang aku katakan, dengan masa yang terhad dan peluang yang singkat, tidak banyak yang dapat aku ceritakan pasal Hong Kong. Insya'Allah nanti bersama isteri tercinta dan anak-anak kami akan menjejakkan kaki lagi di bumi bekas jajahan Inggeris ini.
Namun ibarat kata pepatah orang melayu "Jauh kita berjalan maka luas mata memandang" tapi padaku juga "Walau hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, takkan ku lupa asal tanahku".
Wassalam.