“Selagi gunung itu ada, selagi itu aku tetap sama”. Itulah tajuk
nukilan aku kali ini. Ini semua sebab ramai yang secara tiba-tiba bertanya
tentang profile Whats’ App aku bertukar menjadi gambar gunung yang tertinggi di
Asia Tenggara ini. Mungkin catatan kali ini sedikit peribadi dan ianya adalah
hasil tulisan dalam merungkai sedikit kenangan dan pengajaran dikala usia sudah
mencapai angka 40 tahun. Sebenarnya aku pun tak tahu kenapa aku tiba-tiba
meletakkan gambar keindahan alam ciptaan Allah SWT itu kali ini diluar
kebiaasan yang pada mulanya hanya aku merasakan perkara biasa dan hanya
kebetulan saja. Tapi bila aku terkenang kata-kata arwah bapak dulu pernah
berkata tiada yang kebetulan dalam dunia ini dan setiap yang berlaku itu ada
sebab dan puncanya. Perkataan kebetulan itu hanya kata-kata mudah yang cuba
membawa kita lari dari realiti yang sebenar. Perkara yang diluar kemampuan kita
sekalipun samada kenal, berjumpa, bercakap, makan, minum, tidur, penat, cinta,
sayang dan mati adalah bukan kebetulan. Semuanya ada sebab dan tanpa menafikan
kehendak Qada’ dan Qadar atas ketentuan ilahi, namun penyebab kebetulan itulah
yang kita kena tahu untuk muhasabah diri kita.
Kenapa Gunung? Kenapa alam? Kenapa Sabah? Kenapa orang bertanya? Kini, aku
dapat jawapannya.
Setiap manusia ada kenangan, bersama teman, keluarga dan sesiapa yang
disayangi. Dalam kamus hidup aku, rakan-rakan ku berada dalam 3 generasi
yang berbeza. Pertama, kawan-kawan sekolah rendah dan menengah, kedua ialah
kawan-kawan semasa belajar diperingkat Diploma di ITM Sabah dan kawan-kawan
semasa belajar diperingkat Sarjana Muda Universiti Malaya. Samada sedar atau
tidak, aku bukan seorang pro-social dengan penglibatan aktiviti yang berterusan
dan jiwa sentimental value all the time. Maknanya selepas saja aku masuk alam
pekerjaan selepas belajar di UM, aku terus terputus hubungan dengan semua
rangkaian kawan-kawan samada yang rapat atau tidak rapat denganku. Apatah lagi
aku agak pasif dalam hubungan media sosial tanpa adanya akaun facebook,
istagram, twitter atau lain-lain melainkan blog ini.
Bayangkan walaupun aku sebenarnya hampir setiap tahun berada di tanah
kelahiranku di Tawau namun aku tidak berjumpa dengan rakan-rakan persekolahan
dulu bukan sebab sombong, anti-sosial ataupun jauh sekali merajuk, namun aku
merasakan buku akaun memori itu telah lama pudar dan ianya berdebu. Itu Tawau.
Bandar kecil dihujung Malaysia timur bersempadan dengan Indonesia dan Filipina,
apatah lagi kini ditempatku berkelana Kuala Lumpur, memang hubungan terputus
terus.
Dalam generasi sosial ini, yang paling memberikan aku banyak kenangan ialah
ITM Sabah. Kampus itu kalaulah boleh berbicara maka dia akan berkata-kata
dengan sejarah ku di sana. Sebenarnya aku telah menggunakan segala kudrat dan
kemampuan ku untuk sebolehnya melupakan segala ingatan ku terhadap kampus ini,
apa yang telah aku lakukan disini dan segala kenangan yang ada namun untuk
melakukanya memerlukan masa dan ianya bukan kuasa kita. Masa tetap dengan
pendiriannya dan setiap masa yang dilalui jika tidak dimanfaatkan sebaiknya
maka kerugian pada kita. Kuasa untuk melupakan ini adalah kuasa masa dan ianya
tidak boleh dipaksa. Dan ada kalanya, ianya akan akan terus kekal walaupun masa
itu sudah bertahun berlalu. Setiap masa yang berlalu walaupun sifatnya
sementara tapi akan tetap memahat kenangan samada pahit ataupun manis.
Aku ingin berkongsi, ketika aku melangsungkan perkahwinan 10 tahun yang lalu, adik sahabat UM
aku memberitahu ada seorang kawan lama yang cuba menghubungi aku dan tapi minta
dirahsiakan permintaannya itu. Dia nyatakan keinginan dalam akaun Photopages Amirah Nur yang
menyelitkan gambar majlis persandingan aku ketika itu. Aku ada melihat
photopages itu sepintas lalu dan dari alamat emailnya aku tahu siapa gerangan
kawan lama ini. Kali terakhir SMS yang aku terima darinya adalah dalam 14 tahun
yang lalu berbunyi lebih kurang begini “ Assalamualaikum, untuk pengetahuan,
saya selamat melahirkan seorang baby girl semalam. Terima kasih atas doa”.
Selepas itu aku tidak dengar apa apa lagi. Samada dia tersalah hantar SMS atau
tidak, aku pun tak pasti kerana setahu aku dia tidak pernah memberikan nombor teleponnya kepada sesiapapun apatah lagi orang macam aku kecuali untuk orang-orang
yang amat disayangi sahaja. Namun aku menghargai kalau niatnya memang ingin
mengajak aku meraikan kegembiraan atas kelahiran anak sulungnya itu. Dan ya,
aku memang amat gembira. Sangat-sangat gembira. Tapi tak apalah, itu cerita
lama.
Semalam aku berjumpa seorang kenalan dari kursus DBS ITM Sabah sezaman
dengan ku, aku dimaklumkan kini kawan lama itu yang cuba menghubungi aku melalui photopages yang aku nyatakan diatas, sudah dikurniakan beberapa orang
cahaya mata. Alhamdullillah. Dan aku diberitahu kawan lama ini sedang berada di
kemuncak karier dengan kejayaan dan jawatan yang membanggakan bersama suami
yang amat tersayang. Walau dimana mereka berada, Tahniah dari aku dan keluarga,
semoga murah rezeki, dan semoga segala kebahagian yang dicari telah dikecapi
dan dikurniakan keberkatan Allah SWT. Kirim salam kat Awie Terengganu dan anaknya Daniel,
I remember them still after 15 years my final met with them.
Setelah hampir 10 tahun berada dalam dunia ku sendiri dalam suasana yang
berbeza, alhamdullillah aku berada dalam kerjaya yang boleh membuatkan aku
bersyukur dan kurniaan rezeki yang ada. Di samping isteri tercinta dan 3 orang
super-hero ku, cukup membuatkan aku pada pada landasan yang sepatutnya walaupun
cita-cita aku masih belum tercapai. Insya’Allah perjalanan masih ada dan usaha
untuk terus berjaya akan terus diteruskan. Dan sesunggunhnya aku gembira dengan
kehidupan seperti ini dengan tanpa gangguan, tanpa kenangan, tanpa memori masa
lampau, tanpa ungkit-mengungkit dan mungkin tanpa dendam masa lampau. Dengan
isteri yang memahami karier aku dari hanya seorang pengurus cawangan dalam
entiti hiburan hingga lah ke jawatan dan kerjaya aku sekarang. Semua ini tidak
akan berjaya jika tidak ada sokongan keluarga.
Dan bermula pertengahan tahun lalu 2014, tanpa apa petanda, dengan
kecanggihan teknologi masa kini, kesemua rakan-rakan lama dari generasi
sekolah, ITM dan UM kembali datang seperti ombak di pantai ketika air pasang, menghubungi
dengan teknologi media sosial ini, group what’s app dibentuk maka berlakulah
ibarat program pencarian maka hampir kesemuanya dapat berjumpa di alam siber.
Hanya orang-orang tertentu tidak wujud dalam group ini mungkin mereka masih
dalam proses pencarian. Bila sudah berkumpul maka berlaku sesi pengenalan,
updates status dan lain-lain. Hingga pada satu tahap yang aggressif, program
re-union dirancang. Kesemuanya ada program re-union. Untuk UM dipanggil program
Alumni Kolej Kesembilan dan Alumni Pelajar Ekonomi UM pada bulan September 2014
dan Pre-Comm ITM Sabah bulan Jun 2014. Malangnya aku tak dapat hadir sebab
kesibukan kerja. Dan untuk bekas pelajar-pelajar St. Patrick Tawau Sabah untuk
intake 1985 – 1990 akan diadakan pada hari raya tahun ini. Kali ini insya’Allah
dengan mood hari raya, aku mungkin akan hadir. Mungkin ...
Dan seperti biasa apabila berjumpa, selain bertanya khabar, ramai yang mula
menelaah sikap dan keperibadian diri. Bagi yang tekun, sehingga boleh membuat
perbandingan dulu dan sekarang. Memang menarik tetapi kadang-kadang bila cross
the private border, irritating. Tapi generally semuanya ok. Biasalah bila sudah
lama tidak berjumpa. Cuma yang sedikit meragukan orang kata aku sedikit berubah
sikap menjadi anti estabishment, tak mahu bercakap banyak, tak mahu bergaul,
terlalu berahsia dan macam-macam. Betul atau tidak aku tidak boleh memberikan
justifikasi kerana aku tak boleh menjadi cermin untuk diriku sendiri. Aku
hormat setiap pandangan yang diberikan.
Padaku, aku tetap aku. Cuma masa mungkin mengubah kita menjadi seperti hari
ini. Aku pun tak tahu siapa aku sebelum, kini dan selepas ini mengikut
pandangan orang lain. Itu pengaruh masa. Cuma ingin aku katakan aku sudah biasa
mengasingkan diri selepas era pengajian dan lebih banyak fokus kepada karier
dan keluarga. Tidak lebih dari itu selain tuntutan agama yang wajib atas kita. Dalam
banyak kejayaan ada beberapa kegagalan yang aku tidak boleh maafkan diri aku
dalam hidup setelah impian dibina dan dipertahankan. Namun aku bersyukur kerana
kegagalan itu telah memberikan petunjuk mengenai erti sebuah impian, harapan,
cita-cita, kejujuran dan manusia bernama perempuan. Pun begitu, walaupun masa
berlalu sangat pantas, aku percaya aku tidak pernah berubah. Sesiapa yang
mengenali diri ini sebelum ini, itulah aku dulu, kini dan insya’Allah
selamanya.
Tidak timbul soal perubahan sikap, egoistik malah berahsia. Jika berahsia
maka tidak wujudlah blog dan nukilan ini. Cuma ada lah beberapa had yang aku
rasa boleh berkongsi untuk kebaikan bersama dan ada hal-hal dalaman yang hanya
yang terlibat saja yang tahu. Itu biasa. Semua orang akan melaluinya.
Jadi bila aku diasak dengan pelbagai andaian terhadap perubahan sikap ini
maka mungkin juga apa yang diperkatakan betul mengikut justifikasi mereka.
Namun aku yakin bahawa aku tetap sama. Tiada perubahan yang berlaku dan kalau
ada pun cuma kosmetik sahaja. Maka, dalam memikirkan perubahan ini, tidak dapat
aku bayangkan bagaimana ingin kugambarkan situasi ini. Dan sinilah sesuatu
menjadi ilham.
Baiklah, kita lupakan dulu soal itu. Kita cari topik lain tapi masih
mempunyai hubungan dengan topik kita kali ini ...... Sekitar bulan Mac yang
lalu, aku ada melawat Kota Kinabalu atas jemputan rakan kerja berkaitan dengan
projek bangunan dan shopping complex. Kebetulan projek itu di Bandar Siera
berdekatan Bandar Telipok – Tuaran jadi aku lalu pekan Menggatal. Tempat-tempat
sejarah untuk aku suatu ketika dulu. Memang berubah, memang lain dan jika
sesiapa intake aku yang tak pernah lagi menjenguk Pekan Menggatal selepas era
ITM Sabah 90 an dulu, aku boleh gerenti kebangkalian untuk sesat adalah tinggi.
Maju dan pesat walaupun tidak sepesat Subang Jaya ataupun Damansara Perdana.
Dipendekkan cerita, selepas melawat tapak projek bersama Pengarah Kumpulan
syarikat Pemaju itu, aku terus melajak untuk melihat panorama Gunung Kinabalu
memandangkan seorang rakan ku yang ikut kali ini tak pernah datang ke Sabah
sebelum ini. Dan bila ku pandang Gunung Kinabalu dari pelbagai sudut ianya
tetap tidak berubah walaupun sekitarnya banyak perubahan. Lalu di kesempatan
itu dia bertanya samada aku pernah mendaki gunung itu atau tidak? Lambat aku
nak menjawab soalan ini malah sebenarnya tak mampu nak jawab apatah lagi ingin
bercerita mengenai pengalaman mendaki gunung ini yang dilakukan 19 tahun yang
lalu. Walaupun aku kononnya sudah melupakannya namun sebenarnya setiap saat
detik pendakian itu ada dalam memori ku. Mungkin aku ada janji semasa pendakian
itu yang tidak ditunai dan memang tidak akan tertunai sampai bila-bila. Janji
ku kepada Gunung Kinabalu.
Gunung Kinabalu tetap gah walaupun mereda masa berabad lama. Ia tetap gah
bukan dari zaman aku tapi mungkin dari zaman yang lebih lampau. Ketika mendaki
gunung ini dulu, dalam memori aku masih ada satu ingatan di mana aku pernah
berkata pada seseorang yang paling rapat dengan aku ketika itu, itupun kalau
dia ingat ketika kami dalam satu kumpulan bersama di puncak pendakian “Selagi
gunung ini ada, selagi itu kita bersama”. Dia ini pun setuju dan gembira dengan
ungkapan ini. Aku pun tak tahu dimana dia berada sekarang, itu tidak penting
namun samada jujur atau tidak penerimaan ungkapan itu, hanya dia yang tahu
jawapannya. Tapi manusia ... apa lah yang ada pada kata-kata manusia. Mungkin
aku sendiri pun tidak tahu apa yang aku perkatakan tapi gunung itu tetap setia
dengan janjinya hingga ke hari ini. Dan itulah kali pertama dan mungkin
terakhir untuk aku mendaki Gunung Kinabalu. Dan jika aku ditakdirkan mendaki
lagi, kali ni aku tidak akan berkata apa-apa lagi sebagai janji dan falsafah,
kita serah saja pada masa yang menentukannya. Cuma bila aku melihat puncak
gunung itu kembali baru-baru ini, aku seolah-olah mendengar ia berbisik kepada
ku ... “Aku masih seperti dulu seperti yang kau kenal dulu”.
Jadi kalau sesiapa jumpa aku dan bertanya .. “Kau dah lain sekarang, apa hal bro” Jawapanku adalah “Tidak”. Dan aku akan tambah dengan falsafah gunung tadi dengan berkata “Selagi Gunung itu ada, selagi itu aku tetap sama”.
Betul kata arwah bapak, tiada yang kebetulan dalam hidup ini. Al Fatihah
pada Arwah Bapaku Allahyarham Kapten Hamzah Hj. Omar
Pada nukilan peribadi sempena usia 40 tahun ini, ingin ku ucapkan terima
kasih dan sayang pada isteri tercinta atas sokongan disebalik permulaan yang
payah dan semoga ianya kekal hingga ke akhir hayat. Catatan ini akan bersambung
pada usia 50 tahun jika Allah SWT masih memberikan umur untuk merasai nikmat
dunia ciptaannya. Allahualam ..
Wassalam
Onn Norshal Hamzah
Kuala Lumpur
22 Mei 2015
Wassalam
Onn Norshal Hamzah
Kuala Lumpur
22 Mei 2015